KITAB SUCI AL-QURAN
SURE 101-114

SURE 101. Al-Qaari'ah Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Hari yang menggemparkan, 2. Apa dia hari yang menggemparkan itu? 3. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? 4. (Hari itu ialah: Hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, 5. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. 6. Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya; 7. Maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. 8. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya; 9. Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" 10. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? 11. (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar.
****************************************************
 SURE 102. At-Takaathur 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), 2. Sehingga kamu masuk kubur. 3. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! 4. Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! 5. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). 6. (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. 7. Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!8. Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
********************************************************************
SURE 103. Al-'Asr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; 3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
********************************************************************
SURE 104. Al-Humazah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, 2. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; 3. Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! 4. Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah". 5. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu? 6. (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya); 7. Yang naik menjulang ke hati; 8. Sesungguhnnya api Neraka itu ditutup rapat atas mereka. 9. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.
***********************************************************************
 SURE 105. Al-Fiil
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? 2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? 3. Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan; 4. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; 5. Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
**************************************************************************
SURE 106. Quraisy
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) 2. (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), 3. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, 4. Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.
********************************************************************
SURE 107. Al-Maa'uun
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? 2. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, 3. Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. 4. (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; 5. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; 6. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), 7. Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).
*********************************************************
 SURE 108. Al-Kauthar
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). 2. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). 3. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
***************************************************************
SURE 109. Al-Kaafiruun
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! 2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 3. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. 4. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. 5. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. 6. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.
********************************************************************
SURE 110. An-Nasr 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); 2. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; 3. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
**********************************************************
 SURE 111. Al-Masad
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama; 2. Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. 3. Dia akan menderita bakaran api Neraka yang marak menjulang. 4. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. 5. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.
***************************************************************************
SURE 112. Al-Ikhlaas
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. 2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. 3. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan 4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
****************************************************************************
 SURE 113. Al-Falaq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. 2. Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. 3. Dari bahaya gelap apabila ia masuk. 4. Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulansimpulan (dan ikatan-ikatan). 5. Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.
********************************************************************
SURE 114. An-Naas
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. 2. Yang Menguasai sekalian manusia, 3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, 4. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, - 5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - 6. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.
**********************
Bahasa Melayu
Translation of the
Meanings
Formatting by William B.
Brown
pdf--
http://globalquran.com/download/pdf/

Comments

Popular posts from this blog