KITAB SUCI AL-QURAN

SURE 71-80
SURE 71. Nuh Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya. 2. Dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata; 3. Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertakwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku; 4. Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertakwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman). 5. (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); 6. Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran). 7. Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau. 8. Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang; 9. Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramairamai dengan berterus-terang dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan. 10. Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. 11. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; 12. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). 13. Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), - 14. Padahal sesungguhnya Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat? 15. Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat, 16. Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),17. Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna, 18. Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati) dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguhsungguhnya? 19. Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, 20. Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya. 21. Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak). 22. Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku). 23. Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd dan Suwaa' dan Yaghuth dan Ya'uuq, serta Nasr.
***********************************************************************

SURE 72. Al-Jinn

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Katakanlah (wahai Muhammad): Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: Satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! 2. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami. 3. Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: Tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak. 4. Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (Ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran; 5. Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. 6. Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. 7. Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat). 8. Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.9. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya. 10. Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka? 11. Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. 12. Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun). 13. Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik) dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan. 14. Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang beragama Islam dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar. 15. Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi Neraka Jahannam. 16. (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebabsebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. 17. (Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam) dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya. 18. Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah. 19. Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. 20. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun. 21. Katakanlah lagi; Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu. 22. Katakanlah lagi; Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya) dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya, 23. (Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya) dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya Neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya.. 24. (Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya dan sedikit jumlah bilangannya. 25. (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: Aku tidak mengetahui samada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut. 26. Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun; 27. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). 28. (Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Dia mengetahui bahawa sesungguhnya (dengan jagaan mereka) Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Dia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: Satu persatu.
*******************************************************************************
SURE 73. Al-Muzzammil
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Wahai orang yang berselimut!. 2. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), 3. Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, 4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". 5. (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masingmasing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). 6. Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.7. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; 8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan. 9. Dialah Tuhan yang menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan Dia; maka jadikanlah Dia Penjaga yang menyempurnakan urusanmu. 10. Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. 11. Dan biarkanlah Aku sahaja membalas orang-orang yang mendustakan (bawaanmu) itu, orang-orang yang berada dalam kemewahan dan berilah tempoh kepada mereka sedikit masa; 12. Kerana sesungguhnya di sisi Kami disediakan (untuk mereka) belenggu-belenggu dan Neraka yang menjulang-julang, 13. Serta makanan yang menjadikan pemakannya tercekik dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 14. (Azab itu tetap berlaku) pada hari bumi dan gunung-ganang bergoncang (serta hancur lebur) dan menjadilah gunung-ganang itu timbunan pasir yang mudah bersepah. 15. Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada kamu (wahai umat Muhammad), seorang Rasul yang menjadi saksi terhadap kamu (tentang orang yang mematuhi atau menolak seruannya), sebagaimana Kami telah mengutus kepada Firaun seorang Rasul. 16. Maka Firaun menderhaka kepada Rasul itu, lalu Kami menyeksakannya dengan azab seksa yang seberat-beratnya. 17. (Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban? 18. Langit (yang demikian besarnya) akan pecah belah dengan sebab kedahsyatan hari itu.(Ingatlah), janji Allah adalah perkara yang tetap dilakukanNya. 19. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang mengandungi amaran) ini menjadi peringatan oleh itu sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya dapatlah dia mengambil jalan yang membawa kepada Tuhannya (dengan iman dan taat). 20. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya dan selama satu pertiganya dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang.Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang).Dia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya).Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaikbaiknya dan yang amat besar pahalanya dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
*********************************************************************************
 SURE 74. Al-Muddaththir
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Wahai orang yang berselimut! 2. Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). 3. Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! 4. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. 5. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. 6. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. 7. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)! 8. Kerana apabila telah ditiup sangkakala, 9. Maka saat yang demikian adalah saat (berlakunya) hari yang sukar - 10. Kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). 11. (Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), 12. Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, 13. Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. 14. Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. 15. Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; 16. Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). 17. Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. 18. Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) - 19. Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? 20. Sekali lagi: Binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani merekareka (tuduhan-tuduhan itu)? 21. Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal);22. Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut; 23. Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, 24. Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); 25. Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia! 26. (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam Neraka Saqar. 27. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu? 28. Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa dan tidak membiarkannya (binasa terus) 29. Ia terus-menerus membakar kulit manusia! 30. Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). 31. Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawalpengawal Neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami) dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran) dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu) dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini? Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja.Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) Neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. 32. Sebenarnya! Demi bulan, 33. Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri, 34. Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang, 35. Sesungguhnya Neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar, 36. Yang menjadi amaran bagi umat manusia, 37. (Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya). 38. Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya, 39. Kecuali puak Kanan, 40. (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya, 41. Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,42. (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (Neraka) Saqar? 43. Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; 44. Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; 45. Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; 46. Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, 47. Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. 48. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. 49. (Kalau demikianlah halnya orang-orang yang bersalah), maka mengapa mereka berpaling lari dari peringatan (Al-Quran) ? 50. Seolah-olah mereka sekawan keldai liar yang lari, 51. Melarikan diri (ketakutan) dari singa! 52. (Mereka tidak merasa cukup dengan peringatan itu) bahkan tiap-tiap seorang di antaranya mahu supaya diberi kepadanya lembaran surat yang terbuka (yang diturunkan dari langit untuk dibaca oleh mereka sendiri). 53. Sebenarnya! (Bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil), bahkan mereka (tidak percaya dan) tidak takut akan hari akhirat. 54. Ketahuilah! Sesungguhnya Al-Quran itu adalah satu peringatan (yang sangat besar pengajarannya); 55. Oleh itu sesiapa yang mahu (beringat) dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya. 56. Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat).
*******************************************************************************
SURE 75. Al-Qiaamah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Aku bersumpah dengan hari kiamat; 2. Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)! 3. Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? 4. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). 5. (Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat). 6. Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?7. Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), 8. Dan bulan hilang cahayanya, 9. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, 10. (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? 11. Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! 12. Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. 13. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan. 14. Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, 15. Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). 16. Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). 17. Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); 18. Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; 19. Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). 20. Sedarlah wahai orang-orang yang lalai.(Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. 21. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). 22. Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseriseri; 23. Melihat kepada Tuhannya. 24. Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh, 25. Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. 26. Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat.Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, 27. Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)? 28. Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan; 29. Serta kedahsyatan bertindih-tindih; 30. (Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan). 31. (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya)! 32. Akan tetapi dia mendustakan dan berpaling ingkar! 33. Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah. 34. (Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat! 35. Kemudian api Nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak. 36. Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)? 37. Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? 38. Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? 39. Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis lelaki dan perempuan. 40. Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (Tentulah berkuasa)!
*********************************************************************************
SURE 76. Al-Insaan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? 2. Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. 3. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). 4. (Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): Beberapa rantai dan belenggu serta Neraka yang menjulang-julang. 5. Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: Sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", - 6. Iaitu sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempattempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.  7. (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. 8. Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, 9. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, 10. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut. 11. Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). 12. Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera. 13. Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelaminpelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk; 14. Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan buahbuahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudahmudahnya. 15. Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): Bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya) - 16. (Keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya. 17. Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari "Zanjabil", 18. Iaitu sebuah mata air dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai "Salsabil". 19. Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan. 20. Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya). 21. Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci. 22. (Serta dikatakan kepada mereka): Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah).23. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), dengan beransur-ansur. 24. Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada golongan yang menentangmu) dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka atau orang yang kufur ingkar. 25. Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang; 26. Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang) dan (sebolehbolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam. 27. Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertakwa). 28. Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan penggantian yang sebaik-baiknya. 29. Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah dia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat). 30. Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya). 31. Dia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga) dan orang-orang yang zalim, Dia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
*********************************************************************************
SURE 77. Al-Mursalaat
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Demi (makhluk-makhluk) yang dihantarkan berturut-turut (menjalankan tugasnya), 2. Juga yang merempuh mara dengan sekencang-kencangnya, 3. Dan demi (makhluk-makhluk) yang menyebarkan (pengajaran dan peringatan) dengan sebaran yang sesungguh-sungguhnya, 4. Serta yang memisahkan (antara yang benar dengan yang salah) dengan pemisahan yang sejelas-jelasnya, 5. Lalu menyampaikan pengajaran dan peringatan (kepada manusia), 6. Untuk menghapuskan kesalahan orang-orang yang bertaubat serta memperbaiki keadaan dirinya dan untuk menakutkan orang-orang yang ingkar (derhaka); 7. (Sumpah demi sumpah) sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu tetap berlaku. 8. Oleh itu, apabila bintang-bintang (binasa dan) hilang lenyap; 9. Dan apabila langit terbelah; 10. Dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan; 11. Dan apabila Rasul-rasul ditentukan waktunya untuk dipanggil menjadi saksi terhadap umatnya, (maka sudah tentu manusia akan menerima balasan masing-masing). 12. (Jika ditanya): Ke hari yang manakah (perkara-perkara yang besar) itu ditangguhkan? 13. (Jawabnya): Ke hari pemutusan hukum. 14. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pemutusan hukum itu? 15. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang dijanjikan oleh Rasulnya)! 16. Bukankah Kami telah binasakan orang-orang dahulu (yang ingkar derhaka, seperti kaum Nabi Nuh, Aad dan Thamud)? 17. Kemudian kami akan iringi mereka dengan (membinasakan orang-orang yang ingkar derhaka, dari) kaum-kaum yang datang kemudian. 18. Demikian cara kami lakukan terhadap sesiapa yang berdosa. 19. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang Kami janjikan)! 20. Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang? 21. Lalu Kami jadikan air (benih) itu pada tempat penetapan yang kukuh, 22. Hingga ke suatu masa yang termaklum? 23. Serta Kami tentukan (keadaannya), maka Kamilah sebaik-baik yang berkuasa menentukan dan melakukan (tiap-tiap sesuatu)! 24. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (kekuasaan Kami)! 25. Bukankah Kami telah menjadikan bumi (sebagai tempat) penampung dan penghimpun (penduduknya)? - 26. Yang hidup dan yang mati? 27. Dan Kami telah jadikan di bumi: Gunung-ganang yang menetapnya, yang tinggi menjulang; dan Kami telah memberi minum kepada kamu air yang tawar lagi memuaskan dahaga? 28. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (nikmat-nikmat pemberian Kami)! 29. (Dikatakan kepada mereka semasa ditimpakan dengan azab): Pergilah kepada azab yang dahulu kamu mendustakannya. 30. Pergilah kamu kepada naungan (asap Neraka) yang bercabang tiga, - 31. Yang tidak dapat dijadikan naungan dan tidak dapat memberikan sebarang lindungan dari julangan api Neraka.32. Sesungguhnya Neraka itu melemparkan bunga api, (yang besarnya) seperti bangunan besar, 33. (Banyaknya dan warnanya) bunga api itu seolah-olah rombongan unta kuning. 34. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (keadaan yang demikian). 35. Inilah hari mereka tidak dapat berkata-kata, (kerana masing-masing terpinga-pinga ketakutan), 36. Dan tidak pula diizinkan mereka bercakap, maka mereka tidak dapat meminta maaf. 37. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (hari akhirat)! 38. Inilah hari pemutusan hukum (yang menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah).Kami himpunkan kamu bersama orang-orang yang terdahulu (dari kamu). 39. Oleh itu, kalau kamu ada sebarang tipu-helah melepaskan diri, maka cubalah kamu lakukan terhadap azabKu. 40. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah)! 41. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat) dan yang berdekatan dengan mata air-mata air (yang mengalir), - 42. Serta menikmati buah-buahan dari segala jenis yang mereka ingini. 43. (Pada ketika itu dikatakan kepada mereka): Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan. 44. Sesungguhnya, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik. 45. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (nikmat-nikmat Syurga)! 46. Makanlah dan bersenang-senanglah kamu (wahai orang-orang yang ingkar derhaka) sementara waktu hidup, (kemudian kamu akan menghadapi bahaya), kerana sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang berdosa. 47. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (amaran Allah), - 48. Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Taatlah dan kerjakanlah sembahyang, mereka enggan mengerjakannya. 49. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (perintah-perintah Allah dan laranganNya)! 50. (Kalau mereka tidak juga mahu beriman kepada keterangan-keterangan yang tersebut) maka kepada perkataan yang mana lagi, sesudah itu, mereka mahu beriman?
*********************************************************************
SURE 78. An-Naba'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Tentang apakah mereka bertanya-tanya? 2. Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya). 3. Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya. 4. Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). 5. Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka). 6. (Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orangorang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? 7. Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? 8. Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang? 9. Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? 10. Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? 11. Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? 12. Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh? 13. Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terangbenderang cahayanya? 14. Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurahcurah, - 15. Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuhtumbuhan, - 16. Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya? 17. Sesungguhnya hari pemutusan hukum itu, adalah satu masa yang ditentukan, 18. Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak (ke Padang Mahsyar); 19. Dan (pada masa itu) langit dipecah belahkan sehingga tiap-tiap belahannya menjadi ibarat pintu yang terbuka luas, 20. Dan gunung-ganang, setelah dihancurkan, diterbangkan ke angkasa, lalu menjadilah ia bayangan semata-mata seperti riak sinaran panas di padang pasir. 21. Sesungguhnya Neraka Jahannam adalah disediakan; 22. Untuk orang-orang yang melampaui batas hukum Tuhan, sebagai tempat kembalinya. 23. Mereka tinggal di dalamnya berkurun-kurun lamanya. 24. Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman; 25. Kecuali air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir, 26. Sebagai balasan yang sesuai (dengan amal mereka yang buruk).27. Kerana sesungguhnya mereka dahulu tidak menaruh ingatan terhadap hari hitungan amal, 28. Dan mereka telah mendustakan dengan sesungguh-sungguhnya akan ayatayat keterangan Kami; 29. Dan tiap-tiap sesuatu dari bawaan hidupnya, telah Kami hitung secara bertulis. 30. (Setelah mereka masuk ke dalam Neraka, dikatakan kepada mereka: Oleh sebab kamu telah mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain dari menambah berbagai azab kepada kamu. 31. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. 32. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buahbuahan, terutama anggur; 33. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; 34. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; 35. Mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; 36. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya), 37. Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu); 38. (Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar. 39. Itulah keterangan-keterangan mengenai hari (kiamat) yang sungguh tetap berlakunya; maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil jalan dan cara kembali kepada Tuhannya (dengan iman dan amal yang soleh)! 40. Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat (masa datangnya), iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).
*************************************************************************
SURE 79. An-Naazi'aat
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya; 2. Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya; 3. Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya; 4. Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya; 5. Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat). 6. Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punahranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), 7. Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing); 8. Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, 9. Pemandangannya tunduk gerun. 10. Mereka (yang ingkar) berkata: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu? 11. Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput? 12. Mereka berkata lagi (secara mengejek: Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan! 13. (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua); 14. Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata. 15. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? 16. Ketika dia diseru oleh Tuhannya di "Wadi Tuwa" yang suci; 17. (Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); 18. Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? 19. Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? 20. (Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar. 21. Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); 22. Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). 23. Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; 24. Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi.25. Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. 26. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya). 27. (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! 28. Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya, 29. Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. 30. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya); 31. Dia mengeluarkan dari bumi itu: Airnya dan tumbuh-tumbuhannya; 32. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); 33. (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. 34. Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar; 35. Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya; 36. Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya; 37. Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); 38. Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; 39. Maka sesungguhnya Neraka Jahannamlah tempat kediamannya. 40. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; 41. Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. 42. Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? 43. Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? 44. Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya. 45. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huruhara hari kiamat itu. 46. (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.
*****************************************************************************
SURE 80 'Abasa 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Dia memasamkan muka dan berpaling, 2. Kerana dia didatangi orang buta. 3. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! - 4. Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. 5. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), 6. Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. 7. Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). 8. Adapun orang yang segera datang kepadamu, 9. Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); 10. Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. 11. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). 12. Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah dia mengambil peringatan daripadanya. 13. (Ayat-ayat Suci itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan; 14. Yang tinggi darjatnya, lagi suci (dari segala gangguan); 15. (Terpelihara) di tangan malaikat-malaikat yang menyalinnya dari Luh Mahfuz; 16. (Malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang berbakti. 17. Binasalah hendaknya manusia (yang ingkar) itu, betapa besar kekufurannya? 18. (Tidakkah dia memikirkan) dari apakah dia diciptakan oleh Allah? 19. Dari air mani diciptakannya, serta dilengkapkan keadaannya dengan persediaan untuk bertanggungjawab; 20. Kemudian jalan (baik dan jahat), dimudahkan Tuhan kepadanya (untuk menimbang dan mengambil mana satu yang dia pilih); 21. Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya dia dikuburkan; 22. Kemudian apabila Allah kehendaki dibangkitkannya (hidup semula). 23. Janganlah hendaknya dia kufur ingkar lagi! Sebenarnya dia belum menunaikan apa yang diperintahkan kepadanya. 24. (Kalaulah dia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): 25. Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. 26. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; 27. Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian,28. Dan buah anggur serta sayur-sayuran, 29. Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, 30. Dan taman-taman yang menghijau subur, 31. Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; 32. Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. 33. Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat; 34. Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, 35. Dan ibunya serta bapanya, 36. Dan isterinya serta anak-anaknya; 37. Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkaraperkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. 38. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, 39. Tertawa, lagi bersuka ria; 40. Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, 41. Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. 42. Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.
*****************************************************************
Bahasa Melayu
Translation of the
Meanings
Formatting by William B.
Brown
pdf--
http://globalquran.com/download/pdf/

Comments

Popular posts from this blog