KITAB SUCI AL-QURAN
SURE 81-90

SURE 81. At-Takwiir Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap); 2. Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak; 3. Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu); 4. Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar; 5. Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan; 6. Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur; 7. Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya; 8. Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya, 9. Dengan dosa apakah dia dibunuh? 10. Dan apabila surat-surat amal dibentangkan; 11. Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya; 12. Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang; 13. Dan apabila Syurga didekatkan; 14. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya. 15. Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul; 16. Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya; 17. Dan malam, apabila ia hampir habis, 18. Dan siang, apabila ia mulai terang; 19. Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia, 20. Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, 21. Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai. 22. Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh); 23. Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata. 24. Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib. 25. Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam. 26. (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)? 27. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam: 28. Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul. 29. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
**************************************************************************
SURE 82. Al-Infitaar 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Apabila langit terbelah; 2. Dan apabila bintang-bintang gugur bertaburan; 3. Dan apabila lautan pecah bercampur-baur; 4. Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan; 5. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. 6. Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha.Pemurah? 7. Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; 8. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu. 9. Sebenarnya tidak ada yang memperdayakan kamu (hai golongan yang ingkar)! Bahkan kamu sendiri tidak percayakan adanya hari pembalasan. 10. Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, 11. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); 12. Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. 13. (Gunanya catitan malaikat-malaikat itu ialah: Untuk menyatakan siapa yang berbakti dan siapa yang bersalah) kerana sesungguhnya: Orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada dalam Syurga yang penuh nikmat; 14. Dan sesungguhnya orang-orang yang bersalah, bertempat dalam Neraka yang menjulang-julang. 15. Mereka menderita bakaran Neraka itu pada hari pembalasan, 16. Dan mereka (sentiasa berada dalam azab seksanya), tidak ghaib daripadanya. 17. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? 18. Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari pembalasan itu? 19. (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain dan segala urusan pada hari itu tertentu bagi Allah.
*************************************************************************
SURE 83 Al-Mutaffifiin
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), 2. Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, 3. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. 4. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? 5. Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), 6. Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? 7. Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam "Sijjiin". 8. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia "Sijjiin" itu, 9. Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa). 10. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan - 11. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan.12. Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka! 13. (Sehingga) apabila dia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata: Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala! 14. Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. 15. Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya. 16. Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran Neraka. 17. Akhirnya dikatakan (kepada mereka): Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu. 18. Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orangorang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam "Illiyyiin". 19. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Illiyyiin" itu? 20. Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata, 21. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya. 22. Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: 23. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). 24. Engkau dapat melihat pada muka mereka: Cahaya nikmat yang mereka perolehi. 25. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya, 26. Meterainya kasturi; dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; 27. Dan campuran minuman itu adalah dari "Tasnim": 28. laitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang di dampingkan (Tuhan di sisiNya). 29. Sesungguhnya orang-orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang-orang yang beriman. 30. Dan apabila orang-orang yang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). 31. Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; 32. Dan apabila mereka melihat orang-orang yang beriman, mereka berkata: Sesungguhnya orang-orang itu adalah golongan yang sesat! 33. Pada hal mereka tidak diutus untuk menjaga sesat atau tidaknya orang-orang yang beriman itu! 34. Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. 35. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya). 36. (Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?
******************************************************************************
SURE 84. Al-Insyiqaaq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Apabila langit terbelah, 2. Serta mematuhi perintah Tuhannya dan sudah semestinya ia patuh; 3. Dan apabila bumi diratakan, 4. Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya dan menjadi kosong, 5. Serta mematuhi perintah Tuhannya dan sudah semestinya ia patuh; (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya). 6. Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). 7. Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya; 8. Maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, 9. Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. 10. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, 11. Maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, 12. Dan dia akan menderita bakaran Neraka yang marak menjulang. 13. Sebenarnya dia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! 14. Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)! 15. (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan dia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya! 16. Maka Aku bersumpah, demi mega; 17. Dan malam serta segala yang dihimpunkannya; 18. Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama: 19. Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkattingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan, menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya) 19. Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkattingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan, menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya) 20. Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman? 21. Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud? 22. (Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang-orang yang kafir, sematamata mendustakannya; 23. Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati. 24. Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya; 25. Tetapi orang-orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.
***************************************************************************
SURE 85 Al-Buruuj 
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; 2. Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; 3. Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan; 4. Celakalah kaum yang menggali parit, 5. (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, 6. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, 7. Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. 8. Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! 9. Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. 10. Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). 11. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. 12. Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat. 13. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati). 14. Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. 15. Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya, 16. Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya. 17. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)? 18. (Mereka itu ialah kaum) Firaun dan Thamud (kaum Nabi Soleh). 19. (Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran; 20. Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)! 21. (Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; 22. (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.
********************************************************************************
SURE 86. At-Taariq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Demi langit dan "At-Taariq"; 2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia "At-Taariq" itu? 3. (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya); 4. Tiada sesuatu diri juapun melainkan ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catitan mengenai segala bawaannya). 5. (Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: Dari apa dia diciptakan. 6. Dia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim); 7. Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan. 8. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati), 9. Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat dan lain-lainnya), 10. Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri) dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan). 11. Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan, 12. Dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan, 13. Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar), 14. Dan bukanlah ia kata-kata yang olok-olok. 15. Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat, 16. Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka dan menggagalkannya). 17. Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa.
*****************************************************************************
 SURE 87. Al-A'laa
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), 2. Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; 3. Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); 4. Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak, 5. Kemudian Dia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering (berubah warnanya) kehitam-hitaman. 6. Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (AlQuran yang diturunkan kepadamu dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa, 7. Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan.Sesungguhnya Dia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), yang nyata dan yang tersembunyi. 8. Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) agama yang mudah diterima oleh akal yang sihat. 9. Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran AlQuran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna); 10. Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu; 11. Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya, 12. Dialah orang yang akan menderita bakaran Neraka yang amat besar (azab seksanya), 13. Selain dari itu, dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang. 14. Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), 15. Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk). 16. (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; 17. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. 18. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu, - 19. Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.
*******************************************************************************
SURE 88. Al-Ghaasyiyah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.1. Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi? 2. Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina, 3. Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah, 4. Mereka tetap menderita bakaran Neraka yang amat panas (membakar), - 5. Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya. 6. Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri, 7. Yang tidak menggemukkan dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun. 8. (Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseriseri, 9. Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia), - 10. (Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga tinggi (tempat kedudukannya darjatnya), 11. Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia, 12. Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir, 13. Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya), 14. Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka), 15. Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar), 16. Serta hamparan-hamparan yang terbentang. 17. (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? 18. Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? 19. Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? 20. Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? 21. Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; 22. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). 23. Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta dia kufur ingkar; 24. Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesarbesarnya. 25. Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka, 26. Selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.
*********************************************************************************
SURE 89 Al-Fajr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Demi waktu fajar; 2. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); 3. Dan bilangan yang genap serta yang ganjil; 4. Dan malam, apabila ia berlalu; 5. Bukankah yang demikian itu mengandungi sumpah (yang diakui kebenarannya) oleh orang yang berakal sempurna? 6. (Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) 7. Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya) 8. Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? 9. Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? 10. Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? 11. (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). 12. Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. 13. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; 14. Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat) 15. (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku! 16. Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! 17. Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah).Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Dia berhak menerimanya); 18. Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin; 19. Dan kamu sentiasa makan harta pusaka secara rakus (dengan tidak membezakan halal haramnya), 20. Serta kamu pula sayangkan harta secara tamak haloba! 21. Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, 22. Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), 23. Serta diperlihatkan Neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik) dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? 24. Dia akan berkata: Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amalamal baik untuk hidupku (di sini)! 25. Maka pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. 26. Dan tiada sesiapapun yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya. 27. (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! - 28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - 29. Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia 30. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!
**********************************************************************
SURE 90. Al-Balad
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 1. Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini; 2. Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas), 3. Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya; 4. Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); 5. Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)? 6. Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa). 7. Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu? 8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) 9. Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? 10. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? 11. Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; 12. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? 13. (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: Memerdekakan hamba abdi; 14. Atau memberi makan pada hari kelaparan - 15. Kepada anak yatim dari kaum kerabat, 16. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah. 17. Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, dia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. 18. (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga). 19. Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri.- 20. Mereka ditimpakan (azab seksa) Neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

Bahasa Melayu
Translation of the
Meanings
Formatting by William B.
Brown
pdf--
http://globalquran.com/download/pdf/

Comments

Popular posts from this blog